Simposium Dilema Melayu : Ke Mana Hala Tuju Melayu

Bismillahirahmannirrahim

Assalamualaikum

Tanggal 12 Februari 2011 bertempat di PWTC,saya dan 8 orang lagi rakan dari MMU cyberjaya telah menghadiri satu simposium yang bertajuk DILEMA MELAYU : PERSPEKTIF DAN KONKLUSI. Program ini telah dianjurkan oleh Persatuan Alumni Aspirasi Malaysia (Aspirasi).

Sebelum saya mengulas dengan lebih lanjut mengenai program yang dijalankan,saya rasa lebih baik kita cuba menelusuri sejarah sebuah buku yang menjadi pencetus kepada simposium ini.The Malay Dilemma mula diterbitkan pada tahun 1970 yang banyak menimbulkan kontroversi di atas taksiran yang dibuat oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika itu, mengenai kejadian yang berlaku seperti ekonomi masyarakat melayu dan asas perpaduan kebangsaan membuatkan beliau terpaksa mempertahankan pendapat dan kenyataan yang telah dikarangnya. Buku ini telah diterjemahkan ke bahasa Melayu dengan tajuk Dilema Melayu pada tahun 1982.

Berbalik kepada simposium,Dr. Mahathir yang menyampaikan ucaptama  telah mendedahkan mengenai dilema terbaru yang disifatkannya paling besar pernah dialami kaum itu.

Dilema itu sebenarnya berpunca daripada sikap kaum-kaum lain yang sering mengecam orang Melayu yang cuba mempertahan atau menjelaskan hak mereka sebagai perkauman atau rasis.
Menurut bekas Perdana Menteri itu, kaum- kaum lain berani untuk mengambil kesempatan kerana sikap orang Melayu yang lebih banyak mengalah dan mengundur diri kononnya dengan cara itu mudah untuk mendapatkan keamanan.
Tambahnya, keberanian kaum lain untuk mengasak orang Melayu juga berpunca daripada perpecahan di kalangan mereka berikutan perbezaan fahaman politik dan juga sikap tamak pemimpin tertentu yang ingin menjadi Perdana Menteri.
Katanya, terdapat juga orang Melayu yang masuk politik bukan untuk berkhidmat demi bangsa, agama dan negara sebaliknya untuk wang.
Katanya lagi, kaum-kaum lain menjadi semakin berani kerana mereka juga mendapat sokongan daripada golongan Melayu liberal.
Dalam pada itu, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed yang berucap pada majlis makan tengah hari memberi jaminan bahawa kerajaan masih komited dalam memperjuangkan agenda Melayu dan bumiputera kerana golongan itu masih dihimpit kemiskinan, ekuiti yang rendah dan kurang kompetitif.
Segala jaminan Mustapa itu mungkin melegakan orang Melayu, tetapi hakikatnya segala dasar kerajaan bagi membantu mereka hanya akan berjaya sekiranya kaum itu sanggup mengubah sikap dan nilai hidup yang dipegang.
Pada sesi petang, tajuk “Milikan 30% Ekuiti Bumiputra Menjelang 2020, Bagaimana dan Dimana Melayu?” dibincangkan. Antara panelnya ialah Datuk Dr Awang Adek,Dato’ Ibrahim Ali,Tan Sri Sanusi Junid dan Dato’ Salleh Majid.
Ia kemudiannya disambung dengan sesi bertajuk ‘Masa Depan Kepimpinan Melayu’. Ahli  panel adalah Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali,Tan Isa Samad (Pengerusi Felda) dan Datuk Johan Jaafar (Pengerusi Media Prima) manakala moderatornya adalah bekas Ketua Pengarah BTN, Tan Sri Dr Nordin Kardi.Pengerusi forum ini, Dr Nordin Kardi ketika memberikan kata-kata ketika menutup forum ini berkata, selepas mendengar hujjah-hujjah Mustafa, beliau bersedia untuk mengambil borang menjadi ahli PAS namun kerana ia datang dari orang politik, ia telah membantutkan hasrat itu.
Pada sebelah malam berlangsungnya majlis makan malam gala. Memang kenyang.Sebelum beransur pulang,kami semua mengambil peluang bergambar kenang-kenangan di sekitar PWTC.
wassalam..
Advertisements

Chief Scientist Of the World ??

Bismillahirahmannirrahim

Assalamualaikum

Semalam, waktu bersiar-siar di sekitar KL,tiba-tiba ternampak seorang lelaki berjubah dan berkopiah sedang memberi seolah-olah ceramah di hadapan SOGO. Apa yang menariknya ceramah yang disampaikan bukanlah ilmu agama mahupun politik, tetapi ilmu matematik. Ya, ilmu matematik.

Sekali imbas jika terserempak dengannya di ibu kota, kita pasti menyangka dia tidak lebih daripada seorang penjual ubat jalanan. Lebih hebat, ramai mendakwa dia mungkin gila apabila melihat tulisan di bawah whiteboard “Ketua Saintis Dunia”.

Saya pun meluangkan masa untuk mendengar lelaki ini berceloteh.Namanya Abdul Halim Bustaman.Apa yang saya boleh katakan lelaki ini memang hebat dan penyelesaian matematik beliau memang kreatif. Ramai juga orang yang lalu lalang berhenti seketika dan memberi perhatian kepada apa yang cuba disampaikan lelaki tersebut.

“Orang melayu kena guna otak kanan dalam belajar Matematik!” Jelasnya kepada para pendengar.

Di antara selingan sewaktu dia memberi ceramah ialah dia ada menceritakan kisah hidupnya.Rupanya dia  sebelum ini pernah berkhidmat sebagai seorang guru yang mengajar mata pelajaran matematik selama 10 tahun dan kemudiannya berhenti menjadi guru dan mula membuat kajian terhadap sistem pengajaran matematik. Sistem logik yang pernah dipopularkan oleh Edward de Bono dari Universiti Oxford.Dia juga sempat menunjukkan beberapa helai sijil penyertaan dan penglibatan dalam beberapa siri lawatan dan gambar ketika berjumpa dengan tokoh akademik yang disimpan dalam kotak di atas troli yang digunanya membawa papan putih ketika memberi ceramah.

Dia melakukan demonstrasi matematik yang unik dan kreatif di hadapan khalayak ramai. Setelah selesai menerangkan satu contoh soalan berserta penyelesaian, dia menawarkan kepada mana-mana pihak yang ingin memiliki set naskah ringkas catatan yang dia tulis untuk memahami teknik yang beliau paparkan sebentar tadi.

Saya pun mengambil keputusan untuk membeli risalah yang beliau  edarkan. Tajuknya “Otak Kanan Melayu, Hebat!” sebagai satu tanda penghargaan terhadap ilmu dan keberanian beliau. Dia bukannya mendapat keuntungan pun daripada apa yang dilakukan tetapi semuanya kerana minat dan rasa tanggungjawab untuk memupuk minat masyarakat terhadap matematik .Mungkin jika lelaki ini lahir atau tinggal di Eropah, mungkin sudah menjadi professor .Sayang seribu kali sayang jika orang Melayu Islam yang berbakat seperti ini dibiarkan begitu sahaja. Wallahualam.

 

Konvensyen Memperingati 500 Tahun Kejatuhan Empayar Melayu Islam Melaka

Barangkali ramai tidak menyedari iaitu Kesultanan Melayu Melaka jatuh daripada putaran kekuasaan peradaban selama 500 tahun, pada tahun ini. Menurut catatan sejarah, penjajah Portugis menewaskan Melaka pada 1511 dan terus menguasai empayar ini 100 tahun kemudian.

Oleh dengan itu,buat julung kalinya,ISMA dengan kerjasama Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA), telah menganjurkan  Konvensyen Memperingati 500 Tahun Kejatuhan Empayar Melayu Islam Melaka yang telah berlangsung di Dewan Utama Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) pada 29 Januari yang lepas.

Konvensyen bertemakan ‘Melayu Sepakat, Islam Berdaulat’ ini telah diadakan bagi memperingati peristiwa kejatuhan empayar Melayu Islam Melaka untuk mengembalikan ingatan orang Melayu kepada hakikat keperibadian dan sejarah mereka yang asal.

Saya bersama rakan-rakan  seperjuangan yang lain dari MMU Cyberjaya telah berpeluang menyertai konvensyen ini dengan menaiki bas yang disediakan pihak universiti.Sesampainya kami di UTEM kami telah disambut oleh pihak penganjur dan diberi satu goodie bag setiap orang mengandungi bahan-bahan konvensyen.

Sebanyak tiga kertas kerja telah dibentangkan iaitu “Kegemilangan Empayar Kesultanan Melayu Melaka” oleh YBhg. Prof Emeritus Datuk Dr Yusuf bin Hashim, Naib Cancelor Kolej Universiti Islam Melaka; “Kejatuhan Melaka Dalam Tahun 1511 Sebagai Pelajaran Penting Kepada Bangsa Melayu-Islam Hari Ini” oleh YBhg. Dato’ Dr. Hassan Ahmad, Mantan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka; dan “Perjuangan Bangsa Melayu Dalam Mempertahankan Jatidiri dan Agama  Islam” oleh Al Fadhil Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni, Naib Presiden ISMA.

Satu sesi forum bertajuk “Mengembalikan Jatidiri Bangsa Melayu dan Islam” turut diadakan yang menampilkan Al Fadhil Ustaz Abdullah Zaik; YBhg Dr Muhammad Razak bin Idris, Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM); Prof Datuk Dr Abdul Latif bin Abu Bakar, Ketua II Gabungan Penulis Nasional (GAPENA); dan YBhg Dato’ Seri Dr Siti Zaharah Sulaiman, Mantan Menteri Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat.

Antara resolusi yang dicanang oleh para panel Konvensyen Memperingati 500 Kejatuhan Empayar Melayu Islam Melaka ialah bangsa Melayu mesti:

  1. Menyedari keperluan yang mendesak supaya kembali kepada keperibadian Islam mereka yang asal.
  2. Mengharmonikan kefahaman antara Nasionalis dengan Islamis dalam perjuangan bangsa Melayu di Malaysia.
  3. Menjadikan usaha mengumpul bukti-bukti sejarah yang boleh mengembalikan Melayu kepada jatidiri mereka sebagai agenda nasional.
  4. Mendedahkan fakta-fakta sejarah bagi memberi nafas baru dalam memahami sejarah perjuangan bangsa Melayu.
  5. Mentajdid peradaban Melayu dalam rangka mewariskan kisah kegemilangan, peradaban dan kepahlawanan umat Islam.
  6. Mencari persepakatan atas satu agenda yang boleh mambangunkan sebuah bangsa yang mempunyai agenda yang didukung bersama, “Melayu sepakat Islam berdaulat”.
  7. Memperkasakan institusi yang memperjuangkan dan memartabatkan identiti keperibadian bangsa Melayu.

wassalam…