remaja2pemuda

Bismillah …

Mentari pagi 22 Januari akhirnya memunculkan dirinya jua. Inilah waktu yg aku sangat ternanti-nantikan. Mengikut kalendar gregorian, hari ini genap 20 tahun sejak hari aku melihat dunia buat pertama kalinya. Hari ini juga bermakna istilah “belasan tahun” sudah tak relevan buat diriku lagi. Bila orang mahu menyebut usia ku dalam bahasa Inggeris pun, dah bertukar. Tiada lagi “seventeen”, “eighteen”, “nineteen”. Yang ada sekarang “twenty”,”twenty-one”,”thirty”. “teen” bertukar kepada “ty”. Istilah remaja itu sudah tiada.

Pada pandangan orang lain, ini mungkin tiada apa2. Mungkin bagi orang lain mereka akan menyambutnya dengan majlis keraian, ataupun mengharapkan “wish” dan hadiah dari kenalan. Tapi bagi aku ini adalah sesuatu yang besar. Tiada lagi masa untuk bermain-main. Kerana aku sudah menjadi pemuda. Bukan remaja yang boleh nak bermain-main lagi.

Apabila menyentuh mengenai pemuda, aku tidak dapat lari daripada cuba untuk menghadamkan Rukun Pemuda. Apakah itu Rukun Pemuda ? Imam Hassan Al-Banna telah menulis dalam risalahnya, bahawa ada 4 sifat istimewa bagi pemuda

1. Keimanan asasnya adalah hati yang suci
2. Keikhlasan asasnya jiwa yang bersih
3. Hamasah (Semangat)  asasnya keinginan yang kuat
4. Amal (Usaha) asasnya adalah keazaman yang membara.

Ketahuilah keempat2 sifat ini hanya dimiliki oleh golongan pemuda. Tidak hairan, barisan pemuda sejak dahulu hingga sekarang tetap menjadi tiang pasak bagi kebangkitan sesuatu umat. Ya, mereka adalah agen perubah yg menjadi barisan penjulang panji2 bagi sesuatu fikrah perjuangan.

Usamah bin Zaid ketika dilantik  oleh Nabi s.a.w sebagai Panglima untuk memimpin pasukan kaum muslimin memasuki wilayah Syam dalam usia 18 tahun. Padahal diantara anggota pasukannya terdapat orang yang lebih tua seperti Abu Bakar, Umar bin Khathab dan lain-lainnya. Sultan Muhammad Al Fateh memegang tampuk pemerintahan ketika berusia 19 tahun.

Ketika mencipta laman sosial Facebook, Mark Zuckerberg baru berusia 19 tahun. Dia membuat Facebook untuk membantu membangun jaringan sosial bagi remaja di kampusnya ketika itu, University Harvard. Matt Mullenweg adalah pencipta medium platform blog secara percuma : WordPress. Dia  baru berusia 19 tahun ketika mula mencipta medium ini. Larry Page dan Sergey Brin melancarkan Google pada 4 September 1998. Saat itu, mereka baru berusia 25 tahun dan 24 tahun. Pejabat mereka yang pertama hanya di sebuah garaj sahaja.

Lantas aku  menyoal diri, bolehkah aku pemuda Islam berprestasi dan bergerak seperti mereka? Melakukan usaha-usaha yang keras dalam membangunkan ummah dan menegakan syiar Islam di mata dunia?

Sama ada setahun akan berlalu dengan bermakna atau begitu sahaja, diri inilah yang menentukan hala tujunya. Jika dikatakan siapa pemuda yg penuh hamasah, maka akan aku katakan pemuda itu adalah AKU!

Mahasiswa, AUKU dan …

Bismillah..

Telah sekian lama saya menyimpan hasrat untuk mengkaji dan menulis tentang topik di atas, namun atas faktor-faktor tertentu, terpaksa ditangguhkan. Pagi 1 januari, Malaysia digegarkan dengan berita demonstrasi mahasiswa di Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI). Demostrasi yang dipelopori oleh Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) dan Gerakan Menuntut Kebebasan Akademik (BEBAS) ini dilaporkan berhadapan dengan tindakan keras pihak polis sehingga menyebabkan kecederaan.

Saya tidak bermaksud untuk membela mana-mana pihak dalam peristiwa ini kerana pada zaman serba canggih ini, susah untuk kita pastikan kebenaran sesuatu berita. Seperti yang kita tahu, mana-mana demonstrasi berkemungkinan besar akan berdepan dengan tindakan keras pihak berkuasa. Apabila emosi menguasai akal, sesiapa yang ada di situ pasti terdedah kepada tindakan provokasi yang mungkin boleh mendatangkan insiden yang tidak diingini.

Apa sebenarnya AUKU yang menjadi topik perbahasan yang hangat bak pisang goreng ni? Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU 1971) merupakan satu akta yang digubal oleh kerajaan Malaysia yang diperkenankan oleh raja pada 27 April 1971. Ia juga merupakan suatu akta sebahagiannya di bawah kuasa Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia untuk mengadakan peruntukan bagi penubuhan, penyelenggaraan dan pentadbiran universiti-universiti dan kolej-kolej universiti awam dan bagi perkara-perkara lain yang berkenaan dengannya. Akta ini dipinda pada tahun 1975 dan 1995 menjadi Akta Universiti dan Kolej Universiti (Pindaan) 1995. Kalau nak betul-betul mengaji tentang AUKU, boleh ke link ini .

Jadi apa masalahnya dengan AUKU sebenarnya? Akta ini dilihat sebagai menisfestasi campur tangan kerajaan dalam pentadbiran universiti-universiti untuk mengongkong mahasiswa. Hasilnya, aktivisme mahasiswa menjadi lemah dan tidak bermaya.

Sebuah perjuangan perlu jelas apa yang ingin dituntut dan diperjuangkan. Dalam hal ini, perlu kita kaji hakikat, adakah benar-benar mahasiswa tidak bebas? Atau adakah ini hanya satu tuntutan yang bermotifkan politik? Saya melihat bahawa kebebasan mahasiswa sebenarnya terletak di minda. Terkongkongnya mahasiswa adalah pada pemikirannya sendiri, bukan salah orang lain semata-mata. Sedangkan aktiviti membangunkan masyarakat sangat luas skopnya dan tidak hanya terbatas pada saluran politik. Namun begitu, jikalau hendak menyatakan bahawa mahasiswa perlu diberi kebebasan berpolitik, kebebasan tersebut sebenarnya telah pun diberikan. Mahkamah Rayuan telah mengisytiharkan Seksyen 15 (5)(a) AUKU 1971 yang melarang mahasiswa terlibat dalam politik sebagai tidak sah baru-baru ini.

Ada yang membabi buta menyokong AUKU dibatalkan, dan ada pula yang langsung menyokong AUKU, sedangkan apabila ditanya kepada mereka mengapa,mereka gagal menjawab. Secara realitinya,sebagai mahasiswa,,saya dapati rata-rata mahasiswa iaitu termasuk rakan-rakan saya,tidak tahu apa itu AUKU,apatah lagi tentang perkara-perkara yang tertakluk di dalam akta ini. Hanya kerana kebelakangan ini AUKU kerap diperdebatkan, adalah seorang dua yang rasanya ada kesedaran membaca ‘aware’. dan bila ditanya,,mereka menjawab,AUKU ini adalah akta untuk menghalang pelajar daripada berdemonstrasi jalanan. Sungguh, perkara ini amat mengecewakan kerana AUKU melibatkan banyak perkara termasuklah penubuhan sesetengah universiti di Malaysia ini.

Hakikatnya, tahap kepedulian golongan belia Malaysia terhadap politik berada pada tahap yang sangat rendah. Salah satu indikator yang menyokong fakta tersebut ialah statistik yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menunjukkan  kira-kira 3.84 juta orang penduduk di seluruh negara masih belum mendaftar sebagai pemilih atau 24.2 peratus daripada keseluruhan 15.87 juta rakyat yang layak dan majoritinya adalah terdiri dari golongan muda.

Saya tidak menafikan menafikan di dalam Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 ada yang boleh kita pertikaikan, persoalan yang lebih mustahak yang perlu kita ukur ialah, sudahkah mahasiswa khususnya di Malaysia menggunakan ruang lingkup yang ada semaksimumnya?

Tanpa perlu pergi lebih jauh, cuba anda perhatikan realiti di kawasan setempat anda. Berapa ramaikah para belia yang terlibat dengan institusi kemasyarakatan setempat seperti Ahli Jawatankuasa (AJK) surau dan masjid, persatuan-persatuan penduduk serta badan-badab kebajikan dan sukarelawan masyarakat lainnya. Kemungkinan besar, jari-jemari di tangan anda sudah cukup untuk menghitungnya! Kita belum berbicara tentang memegang jawatan-jawatan utama dalam mewakili rakyat setempat di arena politik tanahair. Jika institusi kecil masyarakat pun dipandang sepi, apatah lagi tangungjawab dan kedudukan yang lebih tinggi untuk memacu pentadbiran dan pembangunan negara.

Peristiwa baru-baru ini juga menunjukkan tanda-tanda mahasiswa mula mengadaptasi budaya “anti-establishment”. Jika benar, ia adalah berita buruk, yang mana tidak kira siapa memerintah negara, jalanan akan dipenuhi dengan protes dan apa sahaja sistem yang dibuat akan sentiasa disanggah. Akibat paling buruk adalah umat Islam di Malaysia akan terus berpecah. Lihat sahaja apa yang telah dan sedang berlaku di Mesir, Syria, Yaman dan beberapa buah negara lain di Timur Tengah. Lihat juga kepada negara jiran kita, Thailand, yang masih belum pulih daripada kesan revolusi yang menjatuhkan kerajaan Thaksin Shinawatra pada 2006. Rajin-rajinkanlah membaca sejarah dunia, dan anda boleh membaca mengenai Revolusi Rusia 1917, Revolusi Amerika dan Revolusi Inggeris yang didasari oleh golongan oportunis.

Saya lihat kebanyakan semangat mahasiswa yang berkobar-kobar tidak dipayungi kefahaman yang sepatutnya terhadap Islam. Mudahnya, kebanyakan mahasiswa melihat perjuangan menegakkan yang Haq dan menundukkan yang batil dalam ruang lingkup yang terhad, dan bersifat jangka pendek. Hamasatus syabab wa hikmatus syuyukh. Jika semangat orang muda tidak dipandu oleh kebijaksanaan orang lama, pelbagai natijah buruk boleh berlaku. Mungkin bukan sekarang, tetapi masa akan datang siapa tahu?.Ingin sekali saya ingin bertanya kepada mahasiswa yang terlibat dengan peristiwa demonstrasi tersebut, adakah anda benar-benar faham dengan tuntutan kebebasan yang anda laungkan itu? Adakah anda yakin, sekiranya berjaya, akan menjadikan universiti sebagai tempat yang lebih baik untuk pembelajaran mahasiswa? Adakah dengan kebebasan yang diperjuangkan itu akan lebih menguntungkan umat Islam? Atau adakah anda hanya terikut-ikut dengan sentimen yang tidak jelas dan bertindak berdasarkan emosi yang dibakar dengan perasaan benci terhadap kerajaan? Sikap naive  ini akan mendedahkan perjuangan anda kepada eksploitasi oleh golongan-golongan liberal bagi merosakkan jatidiri pemuda Islam, sehingga akhirnya, hasil perjuangan anda akan dituai oleh musuh anda sendiri.

“Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan senang kepada kamu hingga kamu mengikuti agama mereka. Katakanlah: “Sesungguhnya petunjuk Allah itulah petunjuk (yang benar)”. Dan sesungguhnya jika kamu mengikuti kemauan mereka setelah pengetahuan datang kepadamu, maka Allah tidak lagi menjadi pelindung dan penolong bagimu.” (QS Al-Baqarah: 120).

Jika mahu berdemonstrasi, berdemonstrasi lah hari-hari, seperti di sini .

wallahualam.

p/s : sedang mencari buku “Bidak-bidak di papan catur Iblis”/”Pawn In The Game”  karangan William Guy Carr.

Mukhayyam

Bismillah…

Lama betul tak bersentuh blog ni. Macam2 perkara dah berlalu. Ada yang baik, ada yang kurang baik. Tapi tak mengapa, kali nak cerita pasal Mukhayyam yang saya sertai pada 16-18 Disember yang lalu anjuran ISMA Melaka bertempat di Hutan Simpan Gunung Datuk Negeri 9. Mukhayyam kali ni special sikit sebab bukan semua pergi, tetapi ekslusif kepada penggerak dan bakal penggerak IPT di sekitar Melaka. Antara IPT yang menghantar wakil ialah UTEM,MMU, UiTM, dan beberapa ikhwah IPT lain yang sedang bercuti.

16 Disember,

8.00 malam.

Berkumpul di masjid Al Alami, MITC. Peserta dibahagikan kepada mengikut kereta yang akan berkonvoi ke Negeri 9.

10.00 malam.

Sampai di pejabat ISMA Seremban. Sesi pengisian bersama Ustaz Hazizi Abdul Rahman, AJK Tarbiyah ISMA Pusat. Sesi yang sangat menarik kerana menyentuh pergolakan politik semasa dan apa yang kita mahukan sebenarnya dalam dakwah.

12. 00 tengah malam. Sampai di tanah perkuburan yang saya tak ingat di mana sebab tidur dalam kereta. hehe. Slot tazkiyatun nafs mengenai kematian oleh akhi Zulhelmi Saad dari UTEM. 1st time dengar tazkirah di kubur tengah2 malam.

1.30 pagi

sampai di campsite, Gunung Datuk. Kembara Mimpi.

17 Disember

530 pagi

solat subuh berjemaah dan al mathurat. Diikuti dengan tazkirah pagi oleh akhi Amer dari UTEM. Sarapan dan menyiapkan tugasan iaitu tilawah 7 page utk setiap peserta.

730 pagi

Bersiap sedia untuk mendaki Gunung Datuk yang setinggi 2900 kaki dari paras laut. Warming up di ketuai oleh ikhwah dari negeri 9. Memulakan pendakian kira-kira jam 8.00 pagi

Gmabar kenangan sebelum memulakan pendakian

8-10 pagi : pendakian

Start Pendakian

Sambil2 mendaki, bolehlah melihat keindahan makhluk Allah S.W.T 🙂
Check point pertama. Pengisian oleh saya sendiri mengenai sifat Al-Hilmi

10.00 PAGI

Kira-kira 2 jam pendakian, puncak Gunung Datuk berjaya ditawan. Walaupun ada ikhwah yang tak larat, namun atas dasar ukhwah dan semangat sebagai seorang muslim, semua peserta berjaya sampai ke puncak. Suasana di atas puncak memang menakjubkan. Bukan mudah untuk dapat peluang untuk melihat keindahan alam dari sudut begini. Bila melihat ke bawah, terasa kecil dunia ni.

Sesi Ice breaking
Menuju Puncak

 

AksI berani mati dari photographer
Pemandangan dari puncak
perjalanan turun

1230 tengah hari

sampai di campsite semula. Makan tengah hari. Masing2 rasa macam nak tercabut lutut disebabkan kecuraman gunung datuk yang menyukarkan perjalanan turun. Turun lagi mencabar dari naik. fuhhh

Cikgu Zul dan Akhi Amru memang Chef terbaik !
Macam biasa, makan dalam talam 🙂
gotong royong membasuh

5.oo petang

Semua peserta berkumpul untuk mendengar taklimat dari akhi Aizam mengenai Kafilah Dakwah. Semua diberi pair masing2 dan setiap pair dikehendaki mencari sekurang-kurangnya 5 orang untuk di-“approach”. Ini merupakan aktiviti paling osem sekali dalam mukhayyam. Bayangkan, pergi ke khalayak ramai dan kemudian bercerita mengenai Islam kepada mereka? selalunya sebelum ni hanya didedahkan dengan teori dalam usrah, daurah, tetapi kali ini semua ilmu yang dapat dipraktikkan. Memang pengalaman yang tak dapat dilupakan. Kawasan yang kami santuni ialah Tampin.

Briefing Kafilah Dakwah
Bersama muda mudi Tampin
Halim dan Aiman menceritakan pengalam mereka kepada cikgu Razak dan Abg Aizam

7.30-10.00 malam

Solat Maghrib dan sesi perkongsian bersama ikhwah Negeri 9. Kemudian peserta dikehendaki menceritakan pengalaman mereka melakukan dakwah di Tampin. Macam2 pengalaman menarik dikongsikan. Kalau nak tahu, kena cuba sendiri =).

Para peserta juga dikehendaki menyelesaikan kuiz sirah yang diberi oleh penganjur.

 

semangat membuat kuiz ni

1.00 pagi.

Nightwalk sepanjang 1.5 km. Memang gelap tak nampak apa. Pada masa itulah sangat rasa persaan kebergantungan terhadap Allah s.w.t .

18 disember.

8.30 pagi

Usai solat subuh dan mengemaskan campsite, ada aktiviti team bonding yang diselia oleh akhi Azlan. aktiviti bonding yang menarik ialah “human chain” di mana para peserta perlu meleraikan simpulan tangan menjadi satu bulatan tanpa melepaskan tangan.

10.00 pagi

Sesi pengisian terakhir oleh akhi Amru. Tajuk yang dikupas ialah ” nahnu qaulu amalliyyun” (adakah kita umat yang berkerja) yang dipetik dari kitab majmu ar-rasa’il karya imam Hassan Al Banna. Selepas itu,semua peserta telah berpelukan dan bersalaman perpisahan sebelum kembali ke tempat masing untuk terus menyambung usaha dakwah yang murni ini 🙂

“Wahai orang-orang yang beriman! Jadikanlah diri kamu pembela-pembela (ugama) Allah sebagaimana (keadaan penyokong-penyokong) Nabi Isa ibni Maryam (ketika ia) berkata kepada penyokong-penyokongnya itu: “Siapakah penolong-penolongku (dalam perjalananku) kepada Allah (dengan menegakkan ugamaNya)?” Mereka menjawab: “Kamilah pembela-pembela (ugama) Allah!” (Setelah Nabi Isa tidak berada di antara mereka) maka sepuak dari kaum Bani Israil beriman, dan sepuak lagi (tetap) kafir. Lalu Kami berikan pertolongan kepada orang-orang yang beriman untuk mengalahkan musuhnya, maka menjadilah mereka orang-orang yang menang.”  as-Saff : 14