Sajak Petang-petang

Bismillah,

Pertama mari kita fikirkan..

Agama kita sama, syahadah kita serupa,
Tapi mengapa mesti berpecah ?Kedua mari kita renungkan..
Bangsa kita sama, darah kita serupa
Tapi mengapa masih bertelagah?
Darah dan syahadah boleh terpisah?Justeru sepatutnya dengan keduanya
Lebih mudah menyatukan kita,
Kerana agama dan bangsa kita adalah sama,
Akidah kita Islam, Kabilah kita Melayu..
Tetapi kenapa sukar benar untuk bersatu ?Cintakan watan turut dipersalah
Kasihkan watan dituduh asabiah,
Melayu dan Islam bagai bertentangan,
Kedua-duanya saling berkonflik,
Islam menggugat semangat patriotik,
Benarkah begitu?

Cintakan agama atau bangsa?
Seolah-olah satu dilema
Satu ke timur satu ke barat,
Tak mungkin tersatu dalam muafakat,
Benarkah itu satu hakikat,
Atau hanya satu muslihat,
Lain tersirat lain tersurat?

Islam dan Melayu boleh diserasikan
Yang satu FITRAH yang satu HIDAYAH,
Cinta bangsa dan agama mampu dipertautkan,
Bila membela Melayu yang miskin…
Itu tanggungjawab bangsa dan itu juga tuntutan agama
Membantu Melayu yang bermasalah,
Itu adalah fitrah kabilah dan itu juga jihad fisabillah,
Lalu satukan fitrah dengan hidayah !

Alangkah indahnya sekiranya ini merupakan titik permulaan. Seandainya ini sikap yang ditunjukkan oleh pemimpin-pemimpin kita, alangkah bahagianya kita Rakyat Malaysia. Ingatlah saudara-saudaraku, baik di dalam BN maupun di dalam PAS, kematian itu pasti, dunia hanya sementara dan tidak kekal. Rapatkanlah saf, demi perpaduan Melayu dan Islam. Mungkinkah akan menjadi kenyataan. Wallahualam.

PTPTiPu ? satu analisa

Bismillah,

Baru-baru ni, landskap politik Malaysia sekali lagi digegarkan dengan isu terbaru iaitu pemansuhan PTPTN. Seramai 300 mahasiswa telah menuntut supaya PTPTN dihapuskan dan diganti dengan pendidikan percuma. Banyak yang telah diperkatakan mengenai perkara ini. Ada yang menyokong, ada yang membantah. Masing-masing ada idea. Satu perkara yang saya bangga dengan rakyat Malaysia ini ialah mereka amat mengambil berat isu pendidikan. Perkara lain jika tidak cakna tidak mengapa, tetapi isu pendidikan mesti ambil tahu. Hatta pekebun atau buruh kasar yang berada di ceruk kampung pun akan ambil berat mengenai perkara ini, kerana rakyat Malaysia tahu, dengan pendidikanlah mereka boleh mengubah nasib keluarga, seperti kata-kata Sir Francis Bacon, “Knowledge is power“.

Pada saya, ada bagusnya isu ini diketengahkan. Jika tidak sampai bila-bila pun tiada penambahbaikan terhadap sistem yang sedia ada. Golongan Mahasiswa yang sebelum ini hanya ambil kisah mengenai kisah percintaan artis ataupun pemenang perlawanan bola sepak EPL juga terkesan dan mula mengambil tahu mengenai isu ini. “The beginning of  knowledge is the discovery of something we do not understand”. Cuma cara penyampaian isu haruslah diperbaiki. Dan yang paling utama, Mahasiswa haruslah bersuara di atas kapasiti Mahasiswa, bukan atas mana-mana blok politik. Itulah yang dinamakan suara Mahasiswa.Kita tak nak dalam kelantangan dan semangat kita menyuarakan pendapat, akhlak-akhlak Islamiah yang kita junjung diketepikan seperti yang dilakukan sebahagian kecil pendemonstrasi baru-baru ini. Hal ini menyebabkan mesej utama perhimpunan telah menjadi kabur dan menyebabkan rakyat marhaen yang lain menjadi ragu-ragu dengan perkara yang diperjuangkan.

Sejarah telah menjadi saksi, mahasiswa mampu menjadi agen perubahan. Pada tahun 1966, telah bermula gerakan PBMUM memperjuangkan penggunaan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar di UM. Ia dimulakan dengan pameran, forum dan simposium. Kemuncaknya ialah Demonstrasi Papan Tanda pada 1970 yang berakhir dengan Naib Canselor Prof. Ungku Aziz mengumumkan bahasa kebangsaan menjadi bahasa rasmi di UM.

Saya kagum dengan semangat yang ditunjukkan oleh para pendemonstrasi yang majoritinya dari SMM dan Mahasiswa Bangkit. Tetapi lebih cantik jika semangat mereka ini didasari dengan kematangan intelektual. Pepatah arab ada menyebut ” Hamasatus syabab wa hikmatus syuyukh” yang bermaksud semangat orang muda, kebijaksanaan golongan tua. Saya masih ternanti-nanti wakil dari kalangan mereka ini untuk tampil ke hadapan dan berhujah dengan fakta dan bukan emosi. Kita tidak mahu perjuangan Mahasiswa ini terkubur begitu sahaja. Inilah masanya mahasiswa untuk mempraktikkan ilmu dan teori yang dipelajari di dewan kuliah di medan yang sepatutnya.

Retorik atau Realiti ?

Mahasiswa juga seharusnya tidak mudah terpengaruh dengan sifir-sifir mudah dalam melaksanakan perkara ini. Bukanlah saya mengatakan bahawa pihak A betul dan pihak B salah, tetapi isu ini adalah isu besar dan kita tidak mampu untuk membuat kesilapan dalam perkara sebesar ini. Kita juga tidak boleh terus membandingkan Malaysia dengan negara luar, kerana setiap negara berhadapan dengan situasi berbeza. Sebagai contoh, Greece memberikan pendidikan percuma kepada rakyatnya tetapi pada masa yang sama negara mereka hampir muflis dan terpaksa meminta bantuan daripada IMF. Dan jika di Norway pula, kerajaannya mengenakan cukai yang sangat tinggi kepada penduduk. Satu lagi contoh negara yang memberikan pendidikan percuma, iaitu Argentina, kadar inflasi di negara mereka sangat tinggi iaitu 22% pada tahun 2010.

Di sini saya ada menyertakan beberapa saranan untuk memperbaiki sistem sedia ada :

1 . PTPTN diubah menjadi pinjaman boleh ubah atau convertible loan

Sistem ini telah diguna pakai oleh pihak MARA dan Petronas dalam memberi bantuan kewangan kepada para pelajarnya. Sistem PTPTN yang ada sekarang iaitu pinjaman peminjam PTPTN yang mendapat kelulusan 1st Class Honour akan ditukar menjadi biasiswa dilihat agak kurang relevan. Selain daripada pemegang kelulusan 1st class Honour, pelajar yang mendapat kelulusan 2nd class upper dan 2nd class lower juga boleh diberikan diskaun sebanyak 60% dan 30% ataupun mengikut kadar yang difikirkan paling sesuai.

2. Pemansuhan caj tambahan 1%

Jika sebelum ini kerajaan mampu untuk bailout syarikat-syarikat GLC sehingga beratus juta, kenapa tidak untuk mereka menanggung kos caj perkhidmatan PTPTN? Kos caj 1% tidak setinggi kos untuk memberi pendidikan percuma, yang dilihat kurang relevan dalam keadaan negara yang masih tenat berhutang, dan juga kerisauan mengenai nilai kecemerlangan akademik serta sakhsiah para pelajar yang kemungkinan besar akan terkesan dengan ‘mentaliti percuma’. Yang akhirnya, sekadar  melahirkan ‘graduan cukup makan’, dengan hanya sekeping pengiktirafan tanpa ‘value-added’ dan ‘ marketability’  yang sewajarnya.

3. Penggantungan pinjaman kepada yang tidak berprestasi

Mahasiswa yang gagal untuk melepasi kelayakan minima 2.0 hendaklah digantung pinjaman sehingga mereka melepasi kelayakan minima tersebut. Ini untuk memastikan hasil cukai rakyat yang digunakan untuk menanggung pembelajaran mereka tidak dibazirkan oleh pelajar yang tidak bertanggungjawab terhadap amanah yang telah diberikan kepada mereka.

Akhirul kalam, besar harapan saya agar perjuangan mahasiswa ini membuahkan hasil yang bermanfaat kepada rakyat Malaysia. Saya juga berharap agar mereka benar-benar telus dalam perjuangan dan bukan sekadar menjadi boneka sesetengah pihak dalam menjayakan agenda politik mereka. Saya juga sangat menanti-natikan debat di antara saudara Khairy Jamaluddin dan saudara Rafizi Ramli mengenai isu PTPTN pada 5 mac ini.

Sumber rujukan :

  1. http://www.malaysia-today.net/mtcolumns/special-reports/48688-manifesto-penghapusan-ptptn
  2. http://pembina.com.my/perbaiki-sistem-ptptn-pendidikan-percuma-tidak-mustahil/
  3. http://www.facebook.com/notes/pertubuhan-ikram-malaysia/penghapusan-ptptn-penyelesaian-yang-realisitk/376269622413359
  4. http://www.merdekareview.com/bm/news_v2.php?n=12926
  5. http://www.merdekareview.com/bm/news_v2.php?n=12740
  6. http://www.malaysiakini.com/letters/193840
  7. http://www.themalaysianinsider.com/sideviews/article/mansuh-ptptn-politics-without-romance-dan-student-power-zul-fikri-zamir-mohamad-munir/
  8. http://www.themalaysianinsider.com/sideviews/article/isu-ptptn-punca-masalah-atau-simptom-izzudin-yussof/
  9. http://rafiziramli.com/2012/04/soal-jawab-ptptn-kita-mampu-hapuskan-ptptn/
  10. http://rafiziramli.com/2012/04/rundingcara-ptptn-dan-masa-depan-pembiayaan-pendidikan-tinggi-negara/
  11. ebook “Kalau Saya Mahasiswa”, Dato Saifudin Abdullah, 2011.
  12. http://www.themalaysianinsider.com/malaysia/article/pakatan-dangles-free-education-as-vote-bait-to-young-malays
  13. http://thestar.com.my/news/story.asp?file=/2012/4/1/education/11023515&sec=education
  14. http://www.france24.com/en/20110617-greece-debt-crisis-imf-eurozone-economy-special-report?ns_mchannel=SEM&ns_source=Google&ns_campaign=France%2024%20RDM_Europe&ns_linkname=Greece%20-%20Crisis_greece%20financial%20crisis&ns_fee=0&gclid=CMzClI21ua8CFcIc6wodxkphkQ
  15. http://www.greekcrisis.net/
  16. http://www.guardian.co.uk/business/2012/apr/16/eurozone-crisis-spain-bonds-euro
  17. http://www.indexmundi.com/argentina/economy_profile.html
  18. http://en.mercopress.com/2011/10/25/the-argentine-economy-is-a-time-bomb-ticking-warns-economist