Travelog Korea : day 8

9.00 am :

Sarapan. Hari ni akan jadi hari paling sibuk. Memang akan pusing Seoul sungguh. Destinasi pertama ialah Digital Pavilion IT  Center. Dari nama pun dah tahu ni mesti tempat canggih. Mula-mula ingatkan macam gedung barangan IT, rupanya macam bangunan exhibition, yang tunjuk semua teknologi terbaru Korea, dari A sampai Z. Terpegun juga sebenarnya dengan ciptaan2 yang ada. Sempat jadi kanak-kanak balik bila cuba semua teknologi yang ada di situ.

Digital IT Pavillion Center

 

Benda ni macam alat muzik virtual. Tak tahu nak ulas macam mana sebab canggih sangat. Haha

 

11.00 a.m :

Seoul World Cup Stadium. Stadium Kebanggaan Rakyat Korea. Teruja nak masuk. Mula-mula masuk Muzium Piala Dunia 2002. Di sini semua memori piala dunia diabadikan, dari sejarah bola sepak Korea(yang pada 70an sama kuat dengan Malaysia) kepada kenangan piala dunia 2002 di mana mereka telah sampai ke separuh akhir. Kemudian kami dibawa ke padang. Merasa la pijak padang dia. Dan kami juga telah menjadi orang awam pertama yang dapat akses ke bilik VIP! Memang terbaik. Habis jelajah stadium, kami dibawa makan tengah hari di medan selera stadium yang terletak dalam stadium sendiri. Ini antara perkara yang boleh dicontohi oleh pentadbir sukan di Malaysia, di mana stadium tidak sahaja digunakan untuk tujuan sukan, malah untuk tujuan perniagaan seperti medan selera dan pusat beli belah.

Muzium stadium

 

Us =)

 

Berangan jadi Coach

2.00 pm:

Kami semua ke tempat pusat kitar semula” MAPO RESOURCE RECOVERY FACILITY”. Di tempat ini kami mendapat pendedahan maklumat tentang informasi kitar semula. Kawasan di pusat ini begitu luas dan besar. Alhamdulillah kami semua diberi kesempatan untuk melalui satu persatu proses bagaimana mereka membuat proses kitar semula. Seperti yang saya  kata sebelum ini, usaha Korea dalam mempromosikan persekitaran hijau memang sangat hebat.

Bayangkan, pada tahun 1993, kawasan ini adalah pulau pembuangan sampah yang bertimbun.
2012, kawasan ini adalah taman hijau yang dihuni ramai manusia dan hidupan lain

 

3.30 pm :

Ke “World Cup Park”. Taman ini dibina sempena memperingati Piala Dunia 2002. Dahulunya tempat ini ialah kawasan pelupusan sampah sebanyak 15 juta tan. Jika tak tahu sejarah tempat ini pasti tak sangka kawasan secantik ini ialah bekas tempat pelupusan sampah.

5.00 pm :

National Council Of Youth Organization building. Pertemuan dengan pengarah bahagian belia Korea. Sesi penerangan dan Q&A. Selepas itu, kami dibawa ke Farewell Dinner. Sekali lagi makanan terbaik untuk kami.

Travelog Korea : Day 7

9.oo pagi :

Sarapan. Baru saya perasan pada kupon sarapan pagi saya tertera jumlah 20000 won, iaiti kira-kira RM60. Terkejut juga bila tahu begitu tinggi nilai sarapan yang dikenakan oleh pihak hotel. Mujur semuanya ditanggung.

Selepas itu, kami memulakan perjalan pulang ke Seoul. Perjalanan pulang mengambil masa kira-kira 6 jam. Kami sampai di Seoul kira-kira jam 4.30 petang.

 

6.00 petang :

makan malam di Salah satu kedai makanan arab di Itaewon. Kebanyakan delegasi memang makan dengan bersungguh kerana sebelum ini di Gyeoungju peserta muslim hanya makan makanan laut dek kerana kesangsian terhadap cara sembelihan daging.

8.00 malam :

Semua ahli delegasi bergerak ke MyongDong Fashion Street untuk membeli belah. Suasana di sini memang meriah kerana lampu-lampu kedai yang berwarna warni. Di sini terdapat banyak kedai kosmetik yang menjual barangan secara berpatutan dan lebih murah berbanding Malaysia. Saya tersereampak dengan ramai pelancong Malaysia antaranya pelajar JPA ke India dan pelajar Malaysia dari Alexandria University. Kami berpecah dan pulang ke hotel dengan cara masing-masing. Saya dan rakan sebilik mengambil keputusan untuk berjalan kaki kira-kira sejauh 5km untuk melihat suasana malam di Seoul. Di sini hitam putih Seoul dapat dilihat dengan mata sendiri dan dijadikan sebagai pedoman hidup.

 

Myondong Fashion Street

Travelog Korea : day 6

930 pagi :

Selesai sarapan pagi di Hotel Hyundai, kami bergerak ke destinasi pertama untuk hari ini, iaitu Gyeoungju National Museum.  Muzium ini berusia kira-kira 90 tahun. Terdapat 4 dewan pameran di sini dan setiap satunya mempamerkan era-era yang berbeza. Kebudayaan Korea banyak dipengaruhi oleh fahaman Buddha dan Confucius, terutamanya ketika zaman Dinasti Silla. Terdapat banyak patung-patung buddha bersaiz besar yang dipamerkan di sini.

Gyeongju National Museum. Credit to Liew Chin Chooi
Divine Bell . Ia telah dikorek dari dasar laut pada tahun 70an

 

1.00 Petang :

Selesai makan tengah hari, kami dibawa ke Seokguram Grotto. Ia adalah antara kuil tertua di Korea, yang menempatkan arca Buddha yang menghadap ke laut. Kuil ini juga merupakan tapak warisan Unesco. Untuk ke puncak, kami perlu mendaki sedikit sebelum boleh melihat arca tersebut. Pemandangannya memang cantik kerana saya dapat melihat seluruh kawasan Gyeoungju dari situ

Kemudian, kami dibawa ke Bulguksa Temple. Bulguksa Temple telah dibina pada tahun 528 Masihi dan merupakan salah satu dari 7 Korean National Treasures. Ia telah diwartakan sebagai tapak warisan UNESCO pada tahun 1995. Selesai lawatan ke dua tempat tersebut, kami dibawa ke sebuah shopping complex untuk makan malam.

 

 

9.00 malam.

Bersiar-siar di sekitar kawasan kompleks hotel. terdapat 5 hotel yang berdekatan dengan hotel saya. Di hadapan hotel terdapat tasik yang luas dilindungi dengan bukit bukau. Suasana nyaman dan menenangkan.

Suasana malam di sekitar Hotel. Credit to L.C.Chooi

Travelog Korea : Day 5

8.30 pagi :

Sarapan pagi di cafe hotel. Seperti biasa , makanan yang disentuh ialah roti dan buah-buahan. Kemudian, kami bergerak ke destinasi pertama kami untuk hari ini, iaitu Hyundai Motors dan Hyundai Heavy Industry. Kedua-duanya terletak di bandar Ulsan. Alhamdulillah cuaca pada hari tersebut cerah. Sesampainya kami di pejabat Hyundai Motors, kami telah dibawa ke bilik tayangan mereka dan satu video pendek mengenai sejarah Hyundai telah ditayangkan. Baru saya tahu bahawa sebenarnya Hyundai telah membeli syarikat Kia Motors pada tahun 2006 dan mereka sekarang bergerak di bawah satu bumbung. Kami dibawa ke kilang pembuatan kereta Hyundai dan kami didedahkan secara langsung proses pemasangan komponen kereta mereka. Pekerja di kilang ini bekerja selama 10 jam sehari dan purata 1 kereta dihasilkan dalam masa 4 minit. Selepas itu kami bergerak ke Hyundai Heavy Industry. Tempat pertama yang kami pergi di situ ialah Asan’s Memorial Hall. Chung Ju Hyung merupakan pengasas syarikat Hyundai. Sejarah hidup beliau telah dipamerkan di dewan pameran ini. Terdapat persamaan antara beliau dengan seorang lagi tokoh yang saya kagumi , iaitu syed Mokhtar Al Bukhary. Kedua-dua mereka merupakan lepasan sekolah menengah dan merupakan bekas petani. Selesai melawat Asan’s Memorial Hall(pengasas Hyundai), 3 daripada ahli delegasi Malaysia telah dipilih untuk ditemu duga oleh Ulsan Broadcasting Channel (UBC). Temu duga ini adalah untuk dimasukkan ke dalam dokumentari berkaitan Industri berat di Korea. Ia akan bersiaran pada Oktober ini.

Kemudian kami dibawa ke tempat pembinaan kapal-kapal berat Hyundai. Hyundai merupakan syarikat pembuatan kapal nombor 1 di dunia. Kisah bagaimana mereka mula-mula menceburi bidang perkapalan juga sangat menarik dan penuh inspirasi. Kemudian kami dibawa ke Hyundai Shopping Mall untuk makan tengah hari. Untuk pengetahuan anda, Seluruh kawasan kilang Hyundai ini umpama sebuah bandar, kerana dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti Hospital, pusat beli belah, sekolah dan bermacam lagi.

1.30 petang :

Kami dibawa bersiar-siar di persisiran pantai bandar Ulsan. Pantai yang memutih dan angin yang bertiup lembut memang menyamankan.

3.00 petang:

Sampai di Ulsan Foreign Language High School. Sekolah ini merupakan antara sekolah khas yang dibina oleh kerajaan korea untuk bidang-bidang tertentu, dan untuk kes sekolah ini ialah untuk menguasai bahasa asing. Umur pelajar di sini ialah 17-19 tahun. Konsepnya hampir serupa dengan SBP atau MRSM di Malaysia. Terdapat 4 bahasa asing yang diajar di sini, iaitu bahasa Inggeris, Jepun, mandarin dan Arab. Saya tertarik denga beberpa perkara di sini. Antaranya ialah suasana kelas yang sangat ceria dan pelajar-pelajar di sini diwajibkan untuk mengemas kelas dan terdapat pengumuman dari radio sekolah untuk mengingatkan pelajar tentang perkara tersebut.

Tugasan kami di sini ialah memperkenalkan Malaysia kepada pelajar-pelajar di sekolah tersebut. Kami juga membuat persembahan tarian zapin dan joget lambak dengan mengenakan pakaian tradisional Melayu,Cina dan India. respon dari pelajar sekolah ini sangat hebat dan memberangsangkan. Ketika sesi perkongsian bersama mereka, saya merasa simpati dengan cara hidup mereka, di mana mereka terpaksa mengorbankan zaman remaja dengan menjadikan akademik 95% dalam kehidupan seharian. Hal ini kerana persaingan yang sangat sengit antara pelajar-pelajar di Korea. Tamat sesi perkongsian, kami pulang ke tempat penginapan sambil diiringi lambaian pelajar sekolah tersebut.

Memberi penerangan tentang Malaysia kepada pelajar Korea.

8.00 malam :

Kami dibawa melawat ke tasik Anapji. Terdapat banyak keluarga yang membawa anak-anak mereka melawat ke sini kerana pemandangannya yang cantik dan bercahaya.

Salam perantauan dari Korea =)

Travelog Korea : Day 4

830 pagi :

Selesai sarapan, kami terus menaiki bas untuk menuju ke bandar Suwon. Di Suwon, kami telah mengadakan lawatan rasmi ke Suwon Youth  Center. Di Korea, terdapat berpuluh pusat belia tetapi pusat belia yang terbesar terletak di Suwon. Pusat belia di sini memang dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti pusat media, kolam renang, gelanggang permainan dan bermacam lagi. Salah seorang staf di situ juga fasih berbahasa Melayu kerana beliau pernah melanjutkan pelajaran di Indonesia.

12.00 tengah hari :

meneruskan perjalanan dari Suwon ke Bandar Gyeoungju. Bandar Gyeoungju ini terkenal dengan jolokan “museum without roof” kerana ia merupakan bandar paling bersejarah di Korea, umpama seperti Melaka di Malaysia. Sepanjang perjalanan, saya amat tertarik dengan pemandangan sekeliling, terutamanya di kawasan sawah padi mereka. Masyarakat Korea hatta walau petani sekali pun amat maju dari segi teknologi mereka. Sepanjang perjalanan ke Gyeoungju, pemandangan seperti gambar di bawah adalah satu kebiasaan.

Pemandangan dalam perjalanan ke Gyeoungju. Jika diamati betul-betul. terdapat banyak rumah hijau dan panel solar yang dibina oleh petani di sini.

5 Petang :

Sampai ke Gyeoungju selepas perjalanan yang memakan masa 5 jam dari Seoul. Kebanyakan bangunan di sini dibina dengan corak tradisional. Kami terus bergerak ke lokasi pertama iaitu Chonmachong Royal Family Tomb. Di sini merupakan lokasi pengkebumian kerabat diraja Korea dari Dinasti Silla. Makam-makam di sini dina seperti sebuah bukit. Satu fakta yang menarik yang saya dapat ialah setiap pelajar sekolah di Korea diwajibkan untuk datang ke sini sekurang-kurangnya sekali sepanjang pembelajaran mereka di sekolah.

Gambar ini diambil di Menara Cheomseongdae. menurut riwayat menara ini dibina pada tahun 600 masihi. kegunaan menara ini adalah untuk melakukan pencerapan bintang.

8.00 malam:

Kami sampai ke tempat penginapan di Gyeoungju, iaitu hotel Hyundai. Sepanjang hidup, ini merupakan kali pertama saya menginap di Hotel 5 bintang. Kami dapat melihat pemandangan sebahagaian bandar Gyeoungju dan tasiknya dari balkoni bilik.

Travelog Korea : Day 3

10.00 pagi :

Usai sarapan, kami bergerak ke destinasi pertama untuk hari ini, iaitu Seoul Youth Media Center, dengan menaiki bas yang disediakan. Youth Media Center merupakan sebiah bangunan media yang dilengkapi dengan studio penyiaran, studio fotografi, dan banyak lagi. Di sini kami berpeluang untuk terlibat secara langsung dalam menjayakan satu video rakaman mengenai perasaan kami di Korea. Speaker dan krew teknikal terdiri daripada peserta delegasi sendiri sambil dibimbing oleh staf di situ. Ini merupakan kenangan saya yang paling manis setakat ini di Korea.

12.3o tengah hari :

Makan Tengah hari di La Margareta restaurant. Di sini makanan disediakan secara buffet dan saya telah mencuba hampir semua seafood yang ada di situ.

1.30 petang :

Bergerak ke Green Growth Hall untuk diberi pendedahan mengenai teknologi hijau di Korea. Di sini kami mendapat banyak pengetahuan baru dan dapat melihat bagaimana usaha-usaha pembaikan alam sekitar dilaksanakan di Korea. Korea Selatan telah menetapkan bahawa 2% daripada KDNK negara mereka digunakan untuk pembangunan teknologi hijau.

4.00 petang :

sampai ke destinasi seterusnya, iaitu Korea National Museum. Sesampainya di sana, kami telah diberi penerangan video mengenai sejarah tulisan korea,iaitu “Hangul”. Manuskrip bertulis dalam bahasa korea iaitu “Tipikana Koreana” merupakan antara manuskrip paling lengkap di dunia, telah dicipta oleh King Saejong The Great. Selepas itu, satu demonstrasi mengenai bagaimana orang muda bertatasusila dengan golongan lebih tua telah dipertontonkan dan dipraktikkan oleh kami selepas itu. Kemudia, kami telah diberi peluang untuk mencuba pakain tradisi Korea, iaitu “Hanguk”. Selesai melaram dengan pakaian tradisi Korea, kami telah diberi peluang meneroka sendiri kawasan muzium Korea.

6.30 petang:

makan malam di sawole boriba,antara restoran ikan bakar yang terbaik di seoul. Ia terletak di kawasan MyongDong Street. Kawasan downtown di Seoul sangat meriah pada waktu malam dengan lampu-lampu kedai yang berwarna warni. Seelsai makan malam, kami dibawa berjalan di tepi sungai Cheonggyecheon yang terletak di tengah-tengah kota metropolitan Seoul. Pemandangan di situ sangat indah dan saya tabik dengan kemampuan pentadbiran mereka dalam menjaga kebersihan sungai tersebut. Ramai juga manusia yang bersiar-siar di situ pada waktu malam.

suasana downtown yang meriah
Pemandangan sungai pada waktu malam

9.00 malam :

pertemuan dengan ikhwah ISMA Korea, yang juga merupakan senior zaman menengah rendah, iaitu Saufi Khusairi. Banyak perkara yang kami borak kerana sudah 5 tahun tak berjumpa. Beliau kini merupakan pelajar di SungDae university,Suwon. Kami menghabiskan masa di Cafe Nescafe (di Malaysia belum ada lagi rasanya) dan di Masjid Seoul.

Travelog Korea : Day 2

10.00 pagi :

Selesai sarapan pagi di hotel, kami bergegas ke Kementerian Kesaksamaan Jantina dan Keluarga Korea. Hujan renyai mengiringi kami dalam perjalanan ke sana. Di sana kami telah disambut oleh Pengarah kementerian tersebut,Mr Kim. Beliau merasa sangat berbesar hati dengan kedatangan kami. Kami telah mengadakan perbincangan dan pertukaran buah fikiran antara pihak Malaysia dan Korea. Terasa seperti duta pula rasanya dengan perbincangan yang sangat mencambah dengan pihak Korea. Tamat perbincangan, kami telah dibawa ke Restoran HiSeoul, yang merupakan restoran makanan Korea yang terbaik di Seoul. Kami dijamu dengan makanan tradisi yang satu ketika dahulu dikhaskan untuk golongan diraja. Memang puas hati dengan hidangan yang disajikan. Nilai makanan bagi setiap orang yang makan pada tengah hari hari itu ialah kira RM150, dan semuanya ditanggung oleh tuan rumah. Rasa bersyukur yang teramat dengan kesempatan yang diberikan.

Sesi percambahan fikiran di Ministry of Gender Equality and Family
Best Korean Restaurants In Seoul 🙂

2.00 petang :

Tiba di kedutaan Malaysia di Korea. Hujan renyai seperti yang dijangka dalam ramalan kaji cuaca Korea. Rakyat Korea memang yakin dengan kemampuan ahli meteorologi mereka dan saya tidak hairan kerana memang ramalan cuaca mereka 99% tepat. Di kedutaan, kami telah melaui satu sesi perkongsian bersama duta Malaysia ke Korea, Dato’ Ramlan. Beliau berkongsi mengenai pengalaman beliau dan bagaimana untuk kita menandingi kehebatan Korea. Sebenarnya, pada tahun 1953, Korea merupakan antara 10 negara termiskin di dunia. Namun dengan semangat yang jitu,dan hasil jerit perih golongan yang terdahulu, Korea telah berjaya memintas Malaysia seperti hari ni. Rakyat Mereka sangat “supportive” terhadap apa-apa inisiatif yang baik daripada kerajaan mereka. Satu fakta yang mengejutkan saya ialah mereka tidak diberi subsidi terhadap barang harian. Memang macam langit dan bumi dengan Malaysia. Agaknya apa lah reaksi rakyat Malaysia jika subsidi ditarik. Sesuatu yang menarik untuk difikirkan.

Bersama duta Malaysia ke Korea, Dato’ Ramlan

3.40 petang :

Ke destinasi seterusnya, iaitu Chongdong Theatre. Di sana kami telah dibawa untuk menonton Teater muzikal Miso. Ini merupakan antara pengalaman manis buat saya kerana ini merupakan kali pertama saya pergi menonton teater muzikal, di Malaysia sekalipun tak pernah lagi. Kami disajikan dengan persembahan mantap dari aktor dan aktres teater tersebut. Koordinasi dan persembahan menakjubkan telah dipamer dan memukau penonton yang rata-ratanya merupakan pelancong asing. Jika saya melawat Korea secara peribadi mungkin tak akan pergi ke tempat sebegini kerana tiketnya yang mahal, iaitu 50000 won, iaitu kira-kira RM150.

Teater terbaik !

6.30 petang :

: Makan malam di Shinsegae Shopping Mall. Sekali lagi menu yang sangat lazat(ditanggung pula tu) disajikan. Saya rasa jika saya tinggal di Korea lebih lama saya pasti akan jadi lebih sihat kerana makanan-makanan di sini banyak yang dimasak secara rebus dan sayur pula umpama seperti keropok di Malaysia.

10.00 malam :

Keluar bersama-sama rakan delegasi. Destinasi yang dituju ialah Dangdaemun Night Market. Kami ke sana menggunakan subway(tren bawah tanah) dan kami bernasib baik bertemu dengan seorang pelajar Thailand yang sudi menemani kami ke sana. Hujan masih lagi turun namun kami redahi juga. Kawasan Dangdaemun memang sangat besar dan terlalu banyak kedai untuk disinggahi semuanya. Barang-barang yang dijual di situ agak berpatutan dan menarik rekaannya. Kami pulang ke hotel dengan menaiki teksi Hyundai yang canggih, dan paling penting sekali, harga yang berpatutan.

Travelog Korea : Day 1

7.00 pagi :

Kapal terbang selamat mendarat di Incheon International Airport, lapangan terbang yang telah memenangi anugerah “Best Airport in The World ” oleh Global Traveler selama 4 tahun berturut-turut. Kedatangan kami telah disambut oleh 2 orang pegawai dari Korea Youth Exchange Center. Kemudian kami dibawa ke Ittaewon dengan menaiki bas yang disewa khas untuk kami. Perasaan teruja mula membuak-buak dalam diri.

8.30 pagi :

Check-in di Hotel Hamilton, Ittaewon. Ittaewon merupakan sebuah kawasan di Seoul yang mempunyai ramai rakyat negara luar bekerja dan menetap di situ. Cuaca redup dan nyaman memang menenangkan sesiapa pun di sini. Tanpa membuang masa kami terus diberi penerangan mengenai keseluruhan program dan sedikit sejarah mengenai Korea. Rupa-rupanya Malaysia merupakan negara pertama yang menjalankan program pertukaran belia bersama kerajaan Korea iaitu pada tahun 1979. Di balik keramahan sambutan pegawai dari Korea, mereka telah menggariskan dengan jelas bahawa Menepati Masa merupakan perkara yang sangat diambil berat oleh mereka.

Orientasi program

1.30 petang :

Lawatan ke Muzium Tteok(Kek Beras). Di sini kami telah diberi penerangan mengenai penciptann Tteok yang merupakan makanan tradisi masyarakat Korea. Terdapat lebih 200 jenis Tteok dan ia diklasifikasikan mengikut 4 musim. Tteok juga digunakan dalam keraian yang menandakan umur seseorang. Kami diberi peluang untuk merasai Tteok di akhir lawatan sebelum bergerak ke lokasi seterusnya.

antara contoh tteok

3.30 petang.

Berda di Istana Diraja Gyeong Bok Gung. Istana ini telah siap dibina pada tahun 1395. Istana ini telah menjadi pusat pentadbiran kerajaan Korea selepas Gaesong. Nama istana ini bermaksud “Palace greatly blessed by Heaven”. Kawasan istana ini sangat besar dan dan sangat-sangat cantik. Masa 1 jam yang diberikan untuk meneroka istana ini memang tidak mencukupi. Antara perkara menarik yang dapat dilihat ialah kami diberi satu set MP3 player yang mempunyai GPS. Setiap kali kami berhenti di satu-satu bangunan, mp3 palayer tersebut akan memainkan rakaman penerangan mengenai bangunan tersebut berdasarkan GPS yang ada. Saya kagum dengan kesungguhan bangsa Korea untuk mendidik anak bangsanya mengenali kegemilangan sejarah mereka.

Travelog Korea-Malaysia Youth Exchange Program : Pre-Departure

1 September  =

9.15 pagi : Bertolak dari MMU Melaka dengan menaiki kereta Universiti. Sepanjang perjalanan, encik Bahrin, driver yang menemani saya ke KL tak henti2 berceloteh. Siap ada tazkirah lagi tentang ikhlas ,redha dan tips perkahwinan. Seronok juga mendengar terutama bahagian yang last tu. Sememangnya kita memang boleh belajar dari sesiapa pun, tanpa mengira latar belakang.

11.00 pagi : Selamat sampai ke Hotel Grand Seasons, KL . Check-in dan makan tengah hari.

2.30 Petang : Taklimat dari Kementerian Belia dan Sukan oleh cik Nuraida dan Encik Mod. Kami diberi penerangan secara rapi mengenai program yang akan berlangsung. Kami dibekalkan sehelai jaket dan T-shirt delegasi Malaysia.

4.00 petang : Latihan kebudayaan. Semua peserta wajib terlibat. Kami diajar oleh trainer untuk mahirkan diri mengenai asas tarian tradisional, iaitu zapin dan joget lambak. Terasa agak kekok di situ.

8.30 malam: Latihan kebudayaan disambung dan tamat kira2 jam 11 malam. Memang letih. Tak sangka tarian yang nampak simple pun sangat mudah. Tapi saya seronok dapat belajar salah satu warisan nenek moyang tanah Melayu ini.

2 September =

8.30 pagi : Sarapan pagi dan latihan kebudayaan. Oleh kerana Hotel Grand Seasons yang kami menginap ini merupakan hotel 5 bintang, jadi boleh bayangkan sendiri bagaimana makanan yang disediakan. Latihan kebudayaan disambung semula untuk memahirkan lagi kami dengan step2 tarian. Kira-kira jam 11 pagi, kami pun membuat pra-persembahan kepada Encik Mod Nazri. Beliau berpuas hati dengan hasil yang ditunjukkan oleh kami walaupun kami hanya mendapat latihan yang singkat.

11.30 pagi : Kami diberikan taklimat terakhir mengenai program. Pihak Kementerian juga memberikan amanat kepada kami untuk menjaga nama baik Malaysia di Korea nanti. Perasaan teruja mula menyusup ke dalam diri. Selepas itu kami dilepaskan untuk membuat  persiapan peribadi. Saya dan rakan delegasi membuat keputusan untuk ke Petaling Street untuk membeli cenderamata untuk dihadiahkan kepada rakan di Korea nanti. Kami juga meninjau-ninjau keadaan sekeliling untuk mencari pengurup mata wang yang boleh memberi kami nilai tukaran mata wang yang terbaik.

5.45 petang : Kami semua berkumpul di lobi untuk check-out dan bergerak ke KLIA. Semua peserta diwajibkan memakai t-shirt dan jaket yang telah diberi oleh pihak kementerian.

6.45 petang : sampai di KLIA. Makan malam dan kemudian check-in penerbangan. Kemudian Cin Nuraida memberi amanat beliau yang terakhir kepada kami. Sahabat RMC sata, Muhammad Syahin juga turut hadir bagi memberikan sokongan moral. Pada masa yang sama , sekumpulan pelajar perubatan tajaan JPA juga turut berada di KLIA untuk terbang ke Ireland buat pertama kalinya.

11.30 malam : Pesawat berlepas ke Incheon, Korea Selatan.