Ibrah Ghazzah Yang Terhebat

Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya pada malam hari dari Masjid Al-Haram ke Masjid Al-Aqsa yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda- Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui. (Al-Isra’:1)

Menyoroti kisah perjuangan di tanah suci Palestin, sejarah telah mencatatkan bahawa tanah ini tidak pernah kering dari tumpahan darah para syuhada yang telah bermati-matian mempertahankan kesuciannya. Palestin bukanlah tanah biasa. Palestin tidak boleh dibandingkan dengan kota-kota yang lain seperti Paris, London, New York, Washington, Moskow, atau Roma . Palestin terletak di sebuah wilayah yang menjadi jambatan, yang menghubungkan antara Asia, Afrika, dan Eropa. Palestin  merupakan salah satu tempat yang didalamnya menyimpan sejarah, kisah, dan ajaran tentang kedamaian. Ada satu hal yang membedakan tanah ini adalah ertinya bagi tiga Agama Samawi, yaitu Yahudi, Kristian, dan Islam.

Gaza. Namanya yang jika disebut 10 tahun yang lalu di Malaysia, pasti menimbulkan tanda tanya. Tetapi selaras dengan peredaran zaman, dengan kecanggihan teknologi maklumat, masyarakat semakin cakna mengenai nama ini. Tanyalah pakcik atau makcik di kedai makan, saya rasa mereka pasti mengetahuinya, ataupun paling tidak, pernah terdengar , sama ada di kaca televisyen, di corong radio, ataupun di internet. Tidak dapat tidak, adalah wajib bagi seorang yang bersaksi dengan Allah yang satu dan Muhammad sebagai rasul-Nya, untuk mengambil berat mengenai apa yang telah berlaku, dan sedang berlaku di Gaza. Ini selaras dengan sabdaan Rasulullah saw yang bermaksud:

Barangsiapa tidak mengambil berat tentang urusan umat Islam, maka bukanlah mereka daripada kalangannya

Peluang menyertai Misi Solidariti Gaza 2012 Aman Palestin baru-baru ini telah menguatkan lagi keyakinan saya mengenai pentingnya seluruh umat Islam untuk sedar dan berpadu dalam menyelesaikan konflik terpanjang dalam peradaban manusia. Saat kaki menjejak ke bumi perjuangan ini, terasa satu aura menghembus jiwa. Tanah ini telah menyaksikan ramai tokoh-tokoh pejuang yang sepanjang hidupnya, berjuang untuk menegakkan kalimah Allah. Sheikh Ahmad Yassin, Dr Abdul Aziz Rantisi, Ahmad Al-Jabary dan ramai lagi.  Mereka semua telah menunaikan janji mereka kepada Sang Pencipta. Dan saban tahun, semakin ramai yang berlumba-lumba untuk mengikut jejak langkah mereka.

Setelah melihat sendiri suasana di Gaza dan bergaul dengan masyarakat di sana, dapat disimpulkan bahawa  kehebatan sebenar para pejuang Gaza terletak pada keimanan mereka pada Allah Azzawajalla, di mana ia lebih kukuh daripada tembok pemisah , lebih mengancam daripada pesawat F16 , dan lebih padu daripada bedilan kereta kebal Israel. Kekuatan ini bukanlah dibina bukan dengan sekadar kata-kata retorik, ataupun laungan-laungan semangat, tetapi melalui keazaman mengikuti wasilah-wasilah tarbiah seperti qiamullail dan solat subuh berjemaah di masjid. Maka tidak hairanlah syarat untuk menyertai Briged Al-Qassam, unit ketenteraan elit Hamas, ialah solat Subuh berjemaah di masjid selama 6 bulan dan mendapat sokongan daripada imam masjid.

Salah satu perkara indah di sana ialah pengamalan Islam dalam masyarakat mereka. Akhlak mereka , benar-benar akan mengesani mana-mana tetamu yang hadir ke bumi ardhul izzah ini, Di Gaza, anak-anak dilatih sejak kecil untuk tidak meminta-minta. Hasilnya tiada seorang pengemis pun dapat dilihat  di situ, sedangkan secara logiknya, merekalah yang paling layak meminta belas kerana terlalu ramai yang menjadi balu akibat kehilangan suami dan anak-anak yang kehilangan ibu bapa akibat kekejaman Zionis Israel. Perkara ini tidak akan berlaku melainkan hasil didikan Islam yang mengakar dalam hati setiap manusia di sana.

Untuk masyarakat Islam Malaysia menjadi sekuat masyarakat Gaza ataupun menghampiri mereka, bukanlah perkara yang mustahil.  Satu ketika dahulu, di saat khilafah Islam jatuh tersungkur, semua ulama menulis surat kepada Syeikh Syakib Arsalan.untuk meminta beliau mengumpul umat islam kembali. Mudah sahaja jawapan Sheikh Arsalan, “Banyak surat sampai kepadaku sama ada dari Morocco, Jawa, Mesir, Syria, Iraq dan negara kamu (palestin). Penulis-penulisnya mencadangkan satu Muktamar Islam, atau melantik seorang khalifah atau perkara-perkara yang seumpama dengannya. Namun, seperti biasa aku akan menjawab : Kita wajib memulakan usaha Islam ini dari bawah; iaitu melalui tarbiyah individu. Apalah gunanya mengadakan muktamar yang menghimpunkan orang-orang yang lemah, tidak mempunyai keinginan sendiri dan tidak mampu melaksanakan satu keputusan atau resolusi. Apa faedahnya berbuat demikian? Adakah kamu mahu mengumpulkan angka-angka kosong?”. Dan jawapan yang hampir serupa juga diberikan oleh Khaled Meshaal, ketua Hamas, apabila ditanya mengenai apa yang boleh masyarakat luar bantu. Jawapnya “Bangunkanlah umat di kawasan kamu, itulah bantuan besar terhadapa kami. Selain doa yang kamu lancarkan untuk kami selepas solat dan ketika Qiamullail”.

Ya, inilah jawapannya jika kita mahu mencontohi Gaza, dan generasi ulung sahabat..

Setiap individu yang bernilaikan kefahaman Islam pasti sedar akan hakikat ketenatan dunia dan menyedari peranan mereka terhadap masyarakat. Mereka akan dapati bahawa pentarbiyahan individu itu penting dan sangat berkait rapat dengan kebangkitan Islam. Setelah ramainya individu dapat dibentuk dengan acuan Islam, maka kebangkitan pasti akan berlaku. Inilah formula kebangkitan Islam yang digunakan oleh Salafussoleh terdahulu. Dan diulangi oleh para pejuang di bumi Palestina hari ini.

Sentiasa akan ada sekelompok dari umatku yang sentiasa berjuang bersama-sama kebenaran, mencabar dan menentang musuh-musuh mereka. Musuh-musuh mereka tidak dapat memberi mudarat kepada mereka sehingga Allah mendatangkan keputusannya. Mereka tetap dalam keadaan demikian.” Maka para sahabat bertanya,”Dimanakah mereka?” Jawab Rasulullah, ” Di Baitul Maqdis dan sekitarnya”. (Riwayat Bukhari)

 

Bangkitlah Negeriku, Harapan itu masih ada.

Intilaqah ke 25 Hamas, bersama ratusan ribu pejuang Palestina

 

Muhammad Farhan Nasri Bin Hamdan

Exco Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Multimedia 2012/2013

Aktivis PEMBINA Melaka

Peserta Misi Solidariti Gaza 2012

 

Road To Gaza : The Departure & Arrival

Road to gaza

Hari yang ditunggu telah tiba. 5/12/12. Setelah menyelesaikan tanggungjawab sebagai seorang pelajar di MMU, iaitu menjawab soalan peperiksaan Electronic Business pada jam 2.30-3.30pm, maka perjalanan ke Gaza dimulakan dengan iringan doa rakan-rakan yang berkumpul di rumah. Kira-kira jam 4.20 petang, kereta Persona milik abang Nazeri telah meluncur laju membelah lebuhraya PLUS untuk menghantar saya ke KLIA untuk satu misi besar, iaitu menyertai Misi Solidariti Gaza 2012 anjuran Aman Palestin.

Sesampai sahaja kami di pintu 6 KLIA, ramai ahli delegasi yang lain telah berkumpul  bersama ahli keluarga dan rakan taulan yang ingin bersama-sama menjadi sebahagian daripada misi besar ini. Para peserta dikehendaki untuk mendaftar nama dan kemudian mendapatkan barang-barang Aman Palestin seperti “tagging” beg dan vest Aman Palestin untuk diapakai ketika berada di Gaza. Peserta kali ini dibahagi kepada 2 trip iaitu jam 8 malam dengan Etihad Airways dan jam 10 malam dengan Egypt Air dan saya telah diletakkan dalam penerbangan yang pertama. Sebelum masuk ke dalam kapal terbang, saya telah diberikan nasihat yang berguna oleh ibu bapa dan OP-OP yang telah banyak membantu saya menyertai misi ini iaitu OP Saharudin dan OP Zenko. Kata-kata semangat dari rakan-rakan PEMBINA dan ISMA  membuatkan hati semakin berkobar-kobar. Kira-kira jam 9 malam, kapal terbang yang saya naiki telah berlepas ke menuju ke Abu Dhabi untuk transit ke Kaherah.

Kira-kira jam 12 malam waktu tempatan pesawat kami telah selamat mendarat di Abu Dhabi untuk transit ke Kaherah. Kami terpaksa bergegas terus ke pintu 15 kerana penerbangan ke Kaherah telahpun membuat panggilan akhir untuk penumpang. Tetapi apa yang sempat saya lihat ialah lapangan terbang Abu Dhabi mempunyai seni bina yang menarik, menjadikannya lapangan terbang terbaik di timur tengah.  Tepat jam 12.45 tengah malam pesawat Etihad Airways telah berlepas membelah awan menuju ke bumi kinanah, Mesir.

Kami tiba di Kaherah jam 4 pagi waktu tempatan. Sementara menunggu trip ke 2 yang akan sampai sedikit lewat daripada kami, para paserta misi telah menunaikan solat dan berehat di terminal. Rupa-rupanya terdapat 2 terminal di sini, terminal lama untuk penerbangan syarikat luar negara, manakala terminal baru khas untuk syarikat penerbangan kebangsaan Mesir, Egypt Air. Semasa waktu subuh, ahli-ahli ISMA Mesir telah datang ke terminal menyambut delegasi daripada Malaysia sambil menghantar 4 orang ahli mereka yang akan turut serta menyertai misi ini. Saya sempat bersua dengan 2 orang rakan lama, iaitu Nawfal Ahmad dan Hamzah Ahmad. Nawfal merupakan bekas rakan usrah saya semasa di MMU Cyberjaya dan kini dia melanjutkan pelajaran dalam bidang Syariah di Universiti Al Azhar.

 Apabila jam menunjukkan pukul 8 pagi, kami telah bertolak dari Kaherah menuju ke destinasi utama, Gaza. Antara tempat yang kami lalui sepanjang perjalanan ialah Ismailiyah, Semenanjung Sinai, dan  bandar pelancongan Aris. Kami juga melihat pemandangan terusan Suez yang terkenal itu. Semenanjung Sinai pernah dirampas oleh Israel pada tahun 1967 sebelum ditawan semula oleh Mesir pada tahun 1973. Kami tiba di sempadan Rafah pada jam 4 petang. Di sini merupakan tempat paling genting dalam menentukan sama ada kami dibenarkan masuk atau tidak ke Palestin. Kami diberitahu proses imigresen di sini boleh memakan masa 3 ke 4 jam, bergantung kepada “mood” pegawai di situ. Namun begitu, Alhamdulillah berkat doa para peserta proses tersebut hanya memakan masa satu jam. Aktivis Aman Palestin yang pernah ke Gaza sebelum ini pun terkejut dengan proses yang sangat lancar itu. Selepas 15 minit perjalanan dari pintu sempadan ke pejabat imigresen Palestin, kami telah disambut dengan pelukan erat dari warga Gaza. Setiap peserta lelaki telah dipeluk oleh mereka. Benarlah kata-kata bahawa orang Arab ini sangat mesra dengan saudara mereka. Menteri Kemasyarakatan Gaza  telah memberi ucapan alu-aluan dan terima kasih kepada kami yang sanggup dating meredah beribu batu menuju ke Gaza demi berjumpa dengan saudara Palestin. Di situ kami berpeluang melihat sendiri rangka kereta Hasan Al jabary, ketua Briged Al Qassam yang telah syahid dibom oleh Israel dan juga bom-bom yang tidak meletup semasa Operation Cloud Pillar baru-baru ini.

Semangat peserta semakin berkobar-kobar apabila melihat kesan-kesan serangan sepanjang perjalanan dari sempadan Rafah ke Gaza City. Suasana malam di Gaza city meriah dengan perarakan kecil dan tayangan video lcd di tepi-tepi jalan. Lagu2 yang dimainkan di corong radio juga penuh dengan semangat. Kami telah diberikan penginapan di Commodore Hotel, Gaza. Hari esok menantikan pengembaraan yang lebih bermakna untuk kami.