Gunung Nuang Daypack Trip

22 Ogos 2015

Alhamdulillah satu lagi gunung berjaya ditawan dalam perjalanan menuju ke Semeru ni. Plan last minute untuk join sekali trip kelab AAC MMU Cyber untuk ke Gunung Nuang via Pangsun trail. Sepatutnya seminggu sebelum tu dah plan nak join satu open trip dekat facebook group HACAM ke Yong Belar, so at least sebelum ke Semeru dapat la test satu G7. Tapi pengumuman last minute dari team IRIS Institute nak buat 1st ever retreat pada tarikh yang sama, jadi terpaksalah utamakan perkara yang lebih penting. Lepas raya pun memang tak daki mana-mana gunung lagi. Pergi ke Tabur je lah sebab dekat dengan rumah (10 minit ke kaki bukit).

Jadi pada hari kejadian, seperti yang dirancang dengan team AAC MMU, aku dan Muaz gerak sendiri ke Hutan Lipur Pangsun kira-kira jam 5.30 pagi. And as usual , team AAC tak sampai lagi dari Cyberjaya. Jadi kami solat subuh dahulu sambil menunggu mereka.  Dalam jam 6.30 pagi yang lain sampai dan tanpa buang masa kami memanaskan badan sambil mendengar taklimat dari abang guider. Yuran penyertaan sebanyak RM25 yang dibayar merangkumi permit, guide, dan juga breakfast+lunch. Jadi rasanya memang sangat ok especially untuk yang baru 1st time nak naik Nuang.

IMG_0791
Laluan perjalanan

Jam 7 pagi, pendakian bermula. Sejam pertama trekking adalah laluan 4WD  menuju ke Kem Lolo. Sepanjang trekking ada wakaf-wakaf yang menjadi penanda jarak dari tempat mula. Kami sampai ke Kem Lolo jam 8.30 pagi dan berehat di situ sambil menikmati packed breakfast yang disediakan penganjur. Disebabkan jumlah peserta yang agak ramai (dalam 30 orang) maka tempoh menunggu orang di belakang agak lama. Orang terakhir sampai ke kem Lolo jam 9.15.  Aku sebenarnya terkejut jugak bila dapat tahu AAC MMU ni buat trip induction kelab dekat Nuang. Gila kau baru masuk terus Nuang (Daypack via pangsun somemore). Try la Broga dulu ke kan. Tapi tak apa lah kelab diorang aku pun dah graduate nak tumpang sekaki je haha.

IMG_0797

9.30 pagi, shoot ke Kem Pacat. Masa ni dah mula la trail yang pacak memacak meruntum jiwa. Masa ni ok lagi boleh steady lagi cucuk pacer. Si Muaz pulak tak nak kalah nak duduk depan je. Sambil hike, geng-geng trail runner pun naik jugak. Selamba je diorang ni turun naik. Jantung apa tak tahu lah. Dalam jam 10.30 sampailah ke Kem Pacat.

IMG_0804

Selepas Kem Pacat, shoot ke Puncak Pengasih. Masa ni dah start pewai. Tapi gagahkan jugak melangkah. Dari Puncak Pengasih nak ke Puncak Nuang, mental koyak. Dah naik kena turun balik dan naik balik. Ini semua gara-gara tidur 2 jam je malam sebelum tu. Pengajaran, dapatkan rehat yang secukupnya, tak kisahlah daki gunung atau bukit mana sekalipun. Bak kata Datok Khalid Yunus, Otai gunung Malaysia ,”never underestimate any mountains, or it will teach you a lesson “. Punyalah penat, aku boleh tertidur dekat satu batu antara puncak pengasih dan puncak nuang. Ada la terlelap dalam 10 minit. Lepas tu terus segar dan shoot ke puncak. Akhirnya sampai di puncak jam 11.55 pagi.

FullSizeRender
Puncak Nuang bersama tupainya yang popular

Masa di puncak , ada lah beberapa group lain yang dah sampai dan tengah lepak. Macam biasa perkara wajib bila sampai puncak ialah sesi bergambar. Lagi satu yang popular dekat Nuang ni ialah tupai jinak di puncak. So kalau dah sampai atas tu memang wajib lah bergambar dengan tupai tu. Tak lama lepas tu, hujan mula turun dengan lebat. Maka berhimpitlah kami ramai-ramai di bawah beirut puncak. Mujurlah pakai baselayer, jadi tak lah sejuk sangat. Yang lain memang dah gigil.

IMG_0838
Ramai-ramai berlindung bawah beirut

Dalam jam 1.30 petang , kami start turun walaupun hujan belum reda. Tak semua peserta nampaknya sampai ke puncak sebab memang ada cut off time. Kalau pukul 1 pun tak sampai lagi better patah balik. Kalau tak memang lewat malam lah sampai bawah. Waktu turun ni pun mencabar betul rasanya sebab hujan lebat. Jadi memang licin dan agak bahaya. Sampai di kem Lolo jam 5 petang. Badan dah penat jadi treatment yang terbaik ialah berkubang dekat air terjun Lolo . Memang nikmat sungguh rasanya. Selesai solat asar, terus shoot ke starting point.

IMG_0795
Hilang serabut kerja bila lepak tempat macam ni

Perjalanan dari Kem Lolo nak ke starting terasa amatlah panjang. Entah bila nak sampai. Si Muaz yang tadi punyalah laju ke puncak pun boleh mental. Pecah perut aku gelak tengok dia meragam. Akhirnya kami sampai jugak ke starting point jam 7 petang. Lega betul rasanya. Memang rasa tak nak lah repeat Nuang via Pangsun daypack. Kalau ikut Janda Baik maybe boleh consider sebab orang kata lagi senang dan santai. Selesai bersihkan diri dan solat maghrib , aku dan Muaz pun gerak balik jam 8 malam. Masa tu pun masih ada lagi yang belum sampai lagi. Disebabkan kami pun gerak sendiri, jadi balik pun sendiri lah. Maka selesai satu lagi latihan pendakian untuk menakluk puncak Mahameru.